Burung Unta Banyak Keistimewaan

brung-unta-01

Tahukah anda Burung Unta suka mengajuk orang? Adakah anda juga tahu burung ini juga gemarkan perhatian dan suka bergambar? Kalau tak percaya, lawatlah ke mana-mana ladang ternakan Burung Unta.

Sekiranya anda ke negeri Johor, luangkan masa untuk singgah di Ladang Ternakan Burung Unta Desaru yang terletak di Teluk Rumania, Pengerang.

Pelawat yang datang ke Ladang Ternakan Burung Unta Desaru akan diberi penerangan terperinci oleh pengurusnya, Collin Teh, usahawan berusia 60an yang sangat peramah.

“Saya sudah berniaga di sini selama 12 tahun dan ada lebih 300 ekor Burung Unta dan 6 orang pekerja yang menjaganya. Waktu lawatan di sini antara 10 pagi hingga 6 petang setiap hari. Tetapi biasanya hanya hujung minggu lebih ramai orang datang,” katanya ketika menyambut kedatangan saya dan rakan-rakan.

brung-unta-05 brung-unta-02

Kami pada mulanya terpegun melihat beberapa orang pelawat mengusap badan burung-burung unta berkenaan. Ada juga yang mengambil kesempatan bergambar. Menurut Collin, Burung Unta sukakan perhatian dan bijak mengajuk perbuatan orang selain gemar diambil gambarnya.

Sepanjang lawatan kami Collin tidak berhenti-henti memberikan maklumat mengenai Burung Unta. Menurutnya Burung Unta bertelur mengikut musim dan dalam setahun setiap ekor burung boleh menghasilkan telur antara 40 hingga 60 biji. Berat purata telur Burung Unta ialah 1.5 kilogram.

brung-unta-03 brung-unta-09

Katanya Burung Unta hanya makan sayur dan bijirin seperti dedak jagung dan kacang.”Daripada jumlah itu 70 peratus adalah sayur. Seekor burung makan enam kilogram sehari. Selain itu kami juga beri ia makanan tambahan seperti vitamin, mineral dan kalsium,” katanya.

Collin berkata kos operasi untuk seekor burung ialah RM6 sehari Ia merangkumi makanan, gaji pekerja dan sewa tanah. Dicampurkan dengan 300 ekor burung, Collin membelanjakan kira-kira RM1,800 sehari.

Kebanyakan Burung Unta ini diperolehi dari Afrika Selatan dan harganya antara RM10 ribu hingga RM20 ribu seekor, bergantung kepada baka. Telur yang dihasilkan diletak dalam inkubator antara 4-5 hari untuk menentukan sama ada ia mempunyai benih atau tidak. Telur yang mempunyai benih akan dieram supaya menetas menjadi anak, sementara yang tidak mempunyai benih dijual.

Harga sebiji telur Burung Unta ialah RM60. Telur Burung Unta tinggi kandungan protin dan rendah kolestrol. Ini kerana ia mengandungi 70 peratus putih telur dan 30 peratus kuning telur, berbanding dengan telur Puyuh yang mempunyai 70 peratus kuning telur dan 30 peratus putih telur. Kulit telur Burung Unta boleh dijadikan pelbagai jenis kraftangan.

brung-unta-04 brung-unta-10

Dagingnya pula mempunyai pelbagai gred, iaitu A, B, C dan D. Daging gred A harganya RM150 sekilo. Ia mempunyai kandungan zat besi yang tinggi seperti daging lembu dan kambing.

Kelebihan daging Burung Unta ialah ia rendah kolestrol dan rendah lemak dan tak banyak fiber. Daging ini juga tinggi kandungan kolagen yang bagus untuk menegangkan kulit yang kendur dan juga bagi orang yang mengalami masalah sendi.

Ia juga boleh dibuat steak atau burger. Harga sekeping burger daging Burung Unta ialah RM20. Ia juga sesuai untuk dibuat satay kerana dagingnya lembut dan cepat garing.

brung-unta-07 brung-unta-11

Menurut Collin, ramai orang kampung membeli tulang dan urat tendon untuk dibuat sup. Mereka percaya ia dapat menyembuhkan penyakit atritis dan berkaitan tulang dan sendi. Malah, kata Collin, minyak Burung Unta juga digunakan oleh orang kampung untuk mengubati penyakit kulit, disengat binatang, kembung perut dan pening kepala.

Kata Collin, bulu Burung Unta juga ada kegunaannya. Menurutnya ramai penari yang datang ke ladangnya untuk membeli bulu burung itu untuk dijadikan kostum. Harga bagi setiap barang bulu Burung Unta ialah antara RM8 dan RM10. Selain itu bulu burung itu juga boleh dijadikan pembersih komputer kerana ia anti-statik. Kulit Burung Unta pula boleh dijadikan beg, jaket, tali pinggang, kasut dan sebagainya.

Bagi golongan yang ingin membela Burung Unta sebagai haiwan peliharaan, seekor anak burung berusia smeinggu dijual dengan harga RM300.

brung-unta-06

Semasa lawatan ke ladang Collin kami terpandang beberapa ekor burung yang hampir botak, lantas bertanya apakah sebabnya?

“Oh, ada tiga sebab mengapa burung itu botak. Yang pertama, dia selalu kena patuk dengan burung lain. Sebab kedua ialah bulunya tanggal apabila sudah terlalu tua. Sebab ketiga, apabila ia mengawan, banyak bulu yang tanggal,

“Burung yang paling banyak tanggal bulunya boleh dianggap yang paling popular kerana ia sentiasa menjadi buruan burung jantan,” kata Collin sambil tersenyum.

brung-unta-08

Apabila melihat kami tergelak, Collin menegaskan dia tidak bergurau. “Saya serius. Burung yang botak itu dulu adalah yang paling cantik. Kalau burung betina yang bulunya penuh, ia menunjukkan ia tak laku di kalangan burung jantan,” katanya sambil tersenyum lebar.

 

We have 7 guests and no members online