Indahnya Kundasang, Gunung Kinabalu & Ranau

sbh-1

Jika ke Sabah adalah satu kerugian jika anda tidak meluangkan masa ke tiga tempat, iaitu Kundasang, Gunung Kinabalu dan Ranau. Pengalaman ke tiga tempat ini pasti tersemat di hati sampai bila-bila.

Jika tidak berminat dengan pakej itu dan mahukan cabaran dan pengalaman yang lebih menyeronokkan, anda boleh menyewa kereta daripada agensi berkenaan. 

Memandangkan ketiga-tiga tempat itu berada di kawasan berbukit-bukau, adalah lebih baik menyewa kereta pacuan empat roda. Menyewa kereta lebih menjimatkan dibandingkan dengan menaiki teksi.

Jarak dari lapangan terbang Kota Kinabalu ke Kundasang adalah lebih kurang 90 kilometer atau dua jam pemanduan. Pekan Kundasang cuma lima kilometer atau tidak sampai 10 minit pemanduan dari kaki Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dan terletak 3,200m hingga 3,800m di atas paras laut.

sbh-8 sbh-4

Jika penduduk di Semenanjung memilih Cameron Highlands atau Genting Highlands untuk menikmati suasana sejuk, di Sabah pula, Kundasang dan Gunung Kinabalu menjadi pilihan.

Malah, keindahan Kundasang dan Gunung Kinabalu lebih asli dan semulajadi kerana ia tidak begitu tercemar dengan kemodenan yang melampau dibandingkan dengan Genting.

sbh-2

Jika ke Kundasang, anda mesti melawat Tugu Peringatan Perang yang dibina untuk mengingati tahanan perang Australia dan British serta Borneo utara yang terkorban dalam “Sandakan Death March” semasa perang dunia kedua.

sbh-9

Tugu Peringatan Perang Kundasang dibuka setiap hari antara 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Adalah lebih elok datang pada sebelah pagi kerana pada waktu petang ia biasanya diseliputi kabus.

Tetapi untuk memasuki Taman Negara Gunung Kinabalu, pelawat dinasihatkan membuat penempahan awal jika mahu membuat pendakian kerana ia sentiasa mendapat tempahan penuh.

Pendakian pula bermula jam 3 pagi, yang bermakna anda mesti bermalam di mana-mana chalet atau hotel berdekatan, sehari sebelum pendakian. Ini kerana puncak Gunung Kinabalu dapat dilihat antara jam tujuh hingga 8 pagi kerana selepas itu ia akan diseliputi kabus tebal.

sbh-5

Ada dua pintu masuk pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, iaitu melalui Timpohon dan Mesilau. Timpohon lebih hampir di Kundasang manakala laluan Mesilau terletak di Mesilau Nature Resort, yang terletak 15 kilometer dari Kundasang. Apabila sampai di kemuncak Gunung Kinabalu, anda pasti merasa terpukau dengan keindahannya.

Selepas pengalaman mendaki Gunung Kinabalu, bolehlah anda turun ke Ranau menghala ke Poring Hot Springs yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Pekan Kundasang. Di situlah juga terdapat banyak bunga Rafflesia.

sbh-3 sbh-6

Tarikan utama Poring Hot Springs, sudah pastinya kolam air panas yang terletak di tengah hutan hijau semulajadi. Berendam di dalam kolam air panas ini boleh meredakan kepenatan.

Di sini juga terdapat Air Terjun Kipungit dan Air Terjun Langanan dan jambatan kanopi (Canopy Walkway) yang terletak kira-kira 400 meter atas paras laut dan panjangnya 100 meter.

Jika ada kesempatan, anda juga boleh melawat Sabah Tea Garden yang tidak jauh dari situ dan menikmati teh organik. Tempat ini juga dilengkapi chalet berbentuk rumah panjang atau anda boleh menyewa khemah.

sbh-7

Sebaik anda sudah menjejak kaki ke Kundasang, Taman Gunung Kinabalu dan Ranau, anda pasti mahu kembali ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu!

 

We have 6 guests and no members online