Kategori Sains & IT

Siri akhir : Media sosial di Malaysia – Telefon pintar jadi makanan

Telefon pintar 3

Jurnal Malaysia sudah mengupas tentang ‘kejuaraan’ rakyat Malaysia dalam menggunakan aplikasi WhatsApp – mengalahkan negara-negara lain di seluruh dunia. Kepintaran telefon berbanding pengguna juga sudah dikupas. Siri akhir ini, Jurnal Malaysia akan merangkumkan tajuk ‘Media sosial di Malaysia’. Selamat membaca!

Aplikasi WhatsApp 88.48 juta, Messenger (76.64 juta), Instagram (42.94 juta), Facebook (33.56 juta), Facebook Lite (22.42 juta).

Statistik di atas merupakan aplikasi global popular yang dimuat turun setakat bulan Ogos 2017. Sumber diperolehi daripada Prioridata.

Ya, jelas terbukti media sosial menguasai dunia hari ini. Termasuk Malaysia. Adakah ia sesuatu yang positif atau negatif?

Ayat selamat, kepenggunaan media sosial ini ada baik buruknya. Cuma, bagaimana kita menggunakannya. Samada dalam keadaan terkawal atau tidak.

Konteks perniagaan, ekonomi dan penyebaran informasi mungkin boleh diletakkan di bawah kategori positif. Namun, media sosial atau telefon pintar ini berupaya menjadi penyebab utama berlakunya masalah berkaitan keselamatan serta jenayah. Negatif!

Iyalah, jika masa 24 jam banyak dihabiskan untuk mengadap telefon pintar, bagaimana kita mahu peka dan prihatin pada keadaan sekeliling? Inilah masa yang ditunggu-tunggu penjenayah. Saat masyarakat leka dengan telefon pintar hingga tidak sedar jenayah berlaku di sebelahnya!

Kecurian, penculikkan dan banyak lagi kes-kes jenayah boleh berlaku tanpa disedari. Sia-sia saja kita laungkan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ jika masyarakat itu sendiri melekat pada telefon bimbit! Bagaimana mahu membantu pasukan keselamatan dalam usaha menangani isu jenayah? Bukankah masyarakat perlu menjadi ‘mata dan telinga’ pasukan keselamatan negara? Bukannya hamba kepada telefon pintar.

Belum lagi menyentuh tentang kepenggunaan telefon pintar membabitkan kanak-kanak atau golongan remaja yang baharu hendak mengenal dunia.

Apa jua jenayah mungkin dapat dielakkan sekiranya ibu bapa atau penjaga memantau serta mengawal anak-anak mereka terutamanya dalam penggunaan telefon pintar atau apa saja alatan komunikasi.

Tetapi… mampukah kita sebagai ibu bapa atau orang dewasa ini memantau pergerakan anak-anak ini? Iyalah, bukankah kita asyik seronok dan leka mengadap telefon pintar?

‘Fokus’ balas-membalas dalam bilik sembang WhatsApp, merakam video ‘FB Live’ dan seumpamanya.

Penulis yakin dan percaya, kebanyakkan kita memiliki lebih daripada 10 kumpulan WhatsApp bukan? Jika tidak, mana mungkin Malaysia menduduki tangga teratas sebagai pengguna WhatsApp paling ramai di dunia?

Celik mata, ketika sarapan, bekerja, makan tengahari, minum petang, ketika menonton drama jam 7 malam, makan malam dan sebelum tidur.

Maka itu, tidak salahlah jika kita katakan, telefon pintar jadi makanan. Mampukah kita menghadamnya?

Sebelum mengakhiri penulisan ini, penulis ingin berpesan kepada diri sendiri dan pembaca sekalian.

Biarlah kita menjadi tuan kepada telefon pintar. Kekalkan diri sebagai seorang manusia. Manusia yang hidup bersama manusia yang lain. Setiap anggota tubuh badan perlu bekerja, bukannya hanya mengarah kepada dua biji mata untuk mengadap telefon pintar. Bukan juga hanya mengarahkan sebatang ibu jari untuk ‘scroll up’ dan ‘scroll down’ paparan di telefon pintar.

Buktikan bahawa kita lebih pintar daripada telefon pintar!

Terima kasih kerana mengikuti kupasan bersiri ini.

Oleh : Alif Mustapha

Artikel berkaitan :

Siri 1 : Media sosial di Malaysia – Menang WhatsApp
Pautan : http://www.jurnalmalaysia.com/?p=4775

Siri 2 : Media sosial di Malaysia : Telefon pintar
Pautan : http://www.jurnalmalaysia.com/?p=4781







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker