Kategori Sains & IT

Siri 1 : Media sosial di Malaysia – Menang WhatsApp

unnamed

Jurnal Malaysia tertarik dengan kajian yang dijalankan oleh The Digital News Report 2017 yang mengatakan Malaysia adalah negara paling tinggi menggunakan aplikasi WhatsApp dengan peratusan 51 peratus sekaligus menjadi pengguna terbesar di dunia!

Begitu juga dengan Facebook (58 peratus) dan YouTube (26 peratus) turut popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Sementara aplikasi WeChat dan Instagram pula memiliki pengguna sebanyak 13 peratus.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam kenyataan respon mereka mengatakan rakyat Malaysia menjadikan media sosial sebagai platform bagi mendapatkan sumber berita iaitu sebanyak 86 peratus. Mengatasi media utama seperti televisyen dengan hanya 54 peratus, media bercetak (45 peratus) dan radio (15 peratus).

Bagusnya, rakyat Malaysia menjadi lebih berinformatif. Selain itu, dunia perniagaan semakin berkembang maju dengan pantas. Angka pertambahan usahawan di Malaysia semakin meningkat. Paling ketara, usahawan yang menjalankan perniagaan atas talian. Tidak hairanlah media sosial dijadikan platform tertinggi di Malaysia.

Bukan saja mesra pengguna, media sosial juga merupakan platform yang tidak terikat dengan sebarang kos tinggi untuk beroperasi. Sesiapa saja boleh mengaktifkan akaun WhatsApp, Facebook dan lain-lain medium dengan percuma.

Jika ada duit lebih, bolehlah mengiklankannya mengikut kos minima. Terpulang mengikut kemampuan masing-masing.

Selain bidang perniagaan atau ekonomi, media sosial ini juga memberi manfaat untuk aspek keselamatan awam. Jika ada berlaku kes kecurian, penculikan atau jenayah, ianya dapat disebarkan dengan cepat sekaligus berupaya membantu pihak berkuasa dalam usaha menangani kegiatan jenayah.

Di sebalik perkara positif, ada juga negatifnya.

Soalan pertama, adakah info yang diperolehi itu baik atau sebaliknya? Adakah berita yang disampaikan itu sahih atau tidak?

Sehingga hari ini, gergasi media sosial Facebook umpamanya masih berperang dengan penyebaran berita palsu. Membuktikan bahawa penyebaran berita palsu semakin tidak terkawal sejak kebelakangan ini.

FB fight fake news

Sedia maklum, pihak yang tidak bertanggungjawab ini mempunyai agenda yang berbeza. Sudah pasti, agenda menyebarkan berita palsu adalah bertujuan kepentingan peribadi. Politik, perniagaan hinggakan dunia selebriti pun tidak terlepas daripada memainkan watak sebagai ‘penyebar’ berita palsu ini. Masing-masing ada agenda masing-masing.

Malangnya masyarakat yang terpedaya dengan sebaran sedemikian. Namun, sebagai pengguna media sosial, alangkah baiknya jika menyelidiki terlebih dahulu sebarang berita yang sampai ke tangan kita. Bukannya terus membuat perkongsian kepada kenalan-kenalan yang lain.

Bayangkan jika ia fitnah, sudah tentu si penyebar juga akan mendapat ‘saham dosa’. Tidak cukup itu, si penyebar berita palsu atau fitnah ini juga boleh diheret ke muka pengadilan mengikut undang-undang yang terdapat dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan, Akta Fitnah serta Kanun Keseksaan. Erti kata lain, dunia akhirat dapat balasan.

Teruskan bersama-sama Jurnal Malaysia. Akan datang, Jurnal Malaysia akan mengupas tentang ‘Telefon pintar di Malaysia’.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker