Kategori Hiburan

Konsert Belenggu Irama untuk bantu insan seni

Wings-Teaser Poster

Selak kembali perjalanan hidup insan seni di Malaysia, adakah nasib mereka kebanyakkannya terbela sepanjang hayat?

Persoalan ringkas yang perit untuk dijawab itu menjadi faktor utama kepada penganjuran Konsert Wings & Superfriends – Belenggu Irama.

Konsert yang dianjurkan oleh Awie Entertainment Sdn Bhd itu dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 6 – 9 April 2017 tidak lama lagi.

Penyanyi Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman berkata, penganjuran konsert ini adalah semata-mata menuntut pembelaan dari segi kebajikan buat insan seni di tanahair.

“Sudah lama saya berhajat untuk menganjurkan konsert seperti ini. Saya sudah berbincang dengan abang Yazid (pemain dram kumpulan Search) kira-kira setahun yang lalu. Saya rasa bersalah jika tidak tunaikan janji ini.

“Kami akan mengadakan (konsep) monolog dan drama. Jika asyik menyanyi kami khuatir mesej sebenar tidak sampai dan disalah tafsir. Pada asalnya konsert solo tetapi saya menukarkannya kepada konsert Wings & Superfriends.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 28 Februari baru-baru ini.

Turut hadir dan bakal menjayakan konsert ini antaranya ialah Ramli Sarip, M. Nasir, Ramli M.S, Siti Nurhaliza, Hattan, Ito Blues Gang, Nash Lefthanded, Maya Karin, Syamel AF, Haiza, dan ramai lagi.

Jelas Awie, nasib para artis Malaysia tidak seharusnya malang seperti yang telah berlaku selama ini kerana para artis adalah golongan yang amat berpengaruh.

Pengaruh dan nama besar mereka hanya ketika popular dan sekiranya tidak ada langkah yang betul di ambil maka ianya tidak akan menjanjikan masa depan yang baik dari segi kewangan.

Terdahulu, Awie turut menyampaikan monolog ringkas yang menyentuh hati para hadirin.

“Adakah kami digunakan hanya seketika. Apabila perlu kami dipanggil, apabila tidak kau pergi menjauh ibarat habis madu sepah dibuang.

“Siapa yang menghiburkan kita jika bukan anak-anak seni? Cuba kita hidup tanpa muzik. Apakah nasib kami terbela? Adakah kami akan menjadi peminta selepas ini?”

Justeru itu, orang ramai yang ingin menghadiri konsert sambil beramal ini boleh dapatkan tiket secara atas talian dengan harga bermula RM80, RM150, RM200, RM250, RM300 dan RM350.  Layari https://airasiaredtix.com/wings_superfriends

#wingsandsuperfriends #belenguirama







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker