Kategori Sains & IT

Era telefon bimbit

Handphone lama

Penulis masih ingat suatu ketika dahulu sekitar 90an, bapa membawa pulang telefon bimbit berjenama NEC. Keterujaan pada ketika itu tidak dapat dibayangkan, seolah-olah ia milik penulis.

Walhal ia sebenarnya hadiah daripada majikan bapa untuk tugasannya sebagai seorang setiausaha.

Sedikit mengenai NEC atau nama penuhnya Nippon Electric Company, ia merupakan sebuah syarikat Jepun yang berkerjasama dengan syarikat dari barat, Western Electric Company (kini dikenali dengan nama Alcatel-Lucent).

NEC diasaskan oleh Kunihiko Iwadare pada tahun 1899. Lepasan graduan Universiti Kobu ini juga pernah berkhidmat dalam Kementerian Kejuruteraan Jepun sebelum mengorak langkah ke Amerika Syarikat (AS) dan berkerja di Edison Machine Work.

Sedia maklum, NEC antara nama yang popular dalam kejuruteraan komunikasi.

Model terawal telefon bimbit NEC 9A umpamanya, dikeluarkan pada tahun 1987 di United Kingdom (UK) dengan harga pengenalan £1795. Jenama ini menjadi kegilaan sekitar tahun 1988 sekaligus merupakan pesaing utama pengeluar telefon bimbit ketika itu, Motorola.

Motorola dengan model Dyna TAC 8000X merupakan telefon bimbit paling awal diperkenalkan di dunia apabila dilancarkan pada tahun 1983 di Amerika Syarikat dan 1985 di UK. Pada ketika itu ia dijual dengan harga £3000 dan jatuh kepada £599 pada tahun 1988.

Awal 90an menyaksikan kewujudan jenama-jenama telefon bimbit antaranya, Ericsson, Mitsubishi, Sony dan Nokia. Penulis turut berpeluang menggunakan telefon jenama Ericsson, Segem dan Nokia.

1999_gsm_phones

Jika dahulu harga telefon berkenaan ada yang mencecah RM1,000, hari ini ia cuma bernilai kurang daripada RM100. Namun pengalaman menggunakannya adalah sesuatu kenangan manis.

Sehingga sanggup mengeluarkan belanja semata-mata mahu membeli buku yang mengandungi kod nada dering. Malah netizen pada ketika itu turut melanggan nada dering kegemaran masing-masing!

Hari ini, jenama Nokia antara nama pengeluar yang semakin tenggelam dek arus zaman selepas mula ‘dicantas’ oleh syarikat dari negara Kanada, Blackberry. Biarpun mereka (Nokia) masih mengeluarkan produk mereka namun ‘auranya’ tidak sehebat dahulu.

Bagaimanapun Nokia kelihatan tidak berputus asa dan mahu bangkit ‘merampas’ era kegemilangannya apabila berhasrat memperkenalkan dua produk baharu mereka pada bulan Februari 2017 ini.

Mampukah Nokia menyaingi Apple, Samsung, Oppo, Lenovo dan lain-lain jenama yang semakin mendapat tempat dihati masyarakat dunia ketika ini?

Jenama apa yang akan menguasai teknologi telefon bimbit atau telefon pintar di masa akan datang? Biarkan masa menentukan…

Persoalan yang lebih penting bagi kita, bilakah Malaysia akan menjadi pengeluar telefon terkemuka di dunia atau setidak-tidaknya mendapat sambutan dalam negara?

mobile

Pengeluaran telefon bimbit pertama Malaysia yang diperkenalkan sekitar 2005, M-Mobile masih belum dapat mencuri hati pengguna dalam negara. Namun usaha dan komitmen syarikat pengeluar tempatan wajar dipuji dan diteruskan oleh generasi muda.

Penulis yakin dan percaya, jika generasi muda bersungguh-sungguh dan diberi peluang khususnya di dalam bidang kejuruteraan, maka tidak mustahil telefon pintar buatan Malaysia akan menjadi sebutan masyarakat dunia suatu hari nanti.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker