Kategori Hiburan

Karang puisi Rohingya untuk artis popular bacakan

rohingya-wham-11Peluang baik buat orang ramai yang berbakat mengarang puisi kerana puisi anda bakal dibacakan oleh artis dan selebriti tempatan dalam program amal Doa Untukmu Rohingya pada 1 Januari tahun hadapan.

Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) membuka peluang kepada orang ramai untuk menghantar hasil puisi mereka beserta nama, alamat dan nombor telefon penulis sebelum 24 Disember (Sabtu) ini.

Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, acara amal yang akan diadakan di Laman Santai, Istana Budaya itu bakal mencatat sejarah tersendiri kerana para artis yang diundang akan membaca 100 puisi terpilih ciptaan orang ramai bertemakan keamanan dan kesejahteraan.

“Pihak kami masih membuka peluang kepada orang ramai yang berbakat dalam penulisan puisi untuk menghantar karya mereka yang asli secepat mungkin untuk dipilih dan akan diagih-agihkan kepada artis-artis tertentu bagi menjayakan projek amal ini,” katanya.

Puisi yang dihantar hendaklah tidak lebih 100 patah perkataan dan tidak diplagiat daripada mana-mana karya seni lain boleh dihantar ke e-mel WHAM iaitu wham.malaysia@gmail.com atau ke akaun Facebook iaitu www.facebook.com/wartawanhiburanfanpage.

Pihak WHAM menjangkakan lebih 1,000 artis termasuklah karyawan seni, budayawan, pemuzik, pelakon dan penyanyi akan terlihat dalam Doa Untukmu Rohingya ini yang akan berlangsung selama 10 jam bermula 2 petang.

“Program amal ini bertujuan bagi memupuk sikap kebersamaan dalam mengenang nasib masyarakat Rohingya yang diperlakukan dengan kejam oleh tentera Myanmar,” katanya.

Antara artis yang sudah mengesahkan kehadiran mereka dan sedang menanti puisi ciptaan peminat ialah Datuk Hattan, Erra Fazira, Azharina, Datuk Jamal Abdillah, Johan As’ari, Datuk Rosyam Nor, Tasha Shilla dan Zarul Husin.

Artis lain yang akan turut serta ialah Mia Ahmad, Zaiton Sameon, Aizat Amdan, penyampai berita Saiful Nizam Ismail, Deejay Lin dan Nabil Ahmad.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker