Kategori Semasa

#JomNaikMRT

pelengkap-pengangkutan-awam-negara

Apa itu MRT? Di mana laluan dan stesennya? Pasti ada yang tertanya-tanya bukan. Artikel ini mungkin dapat membantu anda…

Transit Aliran Massa atau bahasa Inggerisnya Mass Rapid Transit (MRT) Fasa 1 bagi laluan Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Disember 2016.

Projek ini menelan kos perbelanjaan sebanyak RM21 bilion. Penjimatan kira-kira RM2 bilion daripada kos sasaran sebanyak RM23 bilion. Selain itu, projek yang memulakan pembinaan pada Julai 2011 itu juga merupakan projek yang menepati masa penyiapannya.

Najib sebelum itu menyifatkan MRT sebagai pelengkap kepada pengangkutan awam negara. Selain itu MRT juga merupakan sistem dan perkhidmatan yang jauh lebih efisien, moden, dan liputan rangkaian yang lebih berkesan.

Terdapat 31 buah stesen sepanjang laluan MRT SBK ini. Sebanyak 8,000 ruang parkir disediakan di 16 stesen terpilih dengan kadar rata parkir RM4.30 sehari.

Selain itu, sebanyak 112 buah bas pengantara disediakan di stesen-stesen yang meliputi jarak sejauh 256.3 kilometer dengan laluan termasuk kawasan tumpuan seperti KL Sentral, Lapangan Terbang Subang dan juga kawasan perumahan dengan jumlah penduduk yang ramai seperti di Subang Bestari, Kota Damansara dan banyak lagi.

Fasa 1 MRT SBK ini membabitkan laluan Sungai Buloh – Semantan sepanjang 21 kilometer. Manakala Fasa 2 MRT SBK sepanjang 30 kilometer yang memiliki 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi pada Julai 2017.

Apa yang menarik ketika hari perasmian MRT SBK Fasa 1, Najib mengumumkan perkhidmatan percuma selama sebulan sebagai hadiah tahun baharu kepada orang ramai!

Jika anda mahu mencuba dan merasai sendiri pengalaman menaiki MRT, berikut merupakan 12 buah stesen yang terdapat di sepanjang laluan ini :

  • Sungai Buloh
  • Kampung Selamat
  • Kwasa Damansara
  • Kwasa Sentral
  • Kota Damansara
  • Surian
  • Mutiara Damansara
  • Bandar Utama
  • Taman Tun Dr Ismail
  • Phileo Damansara
  • Pusat Bandar Damansara
  • Semantan

Sedikit informasi tentang MRT :

MRT Lembah Klang (KVMRT) adalah salah satu projek infrastruktur pengangkutan awam darat yang terbesar dilaksanakan di Malaysia setakat ini. Projek ini disenaraikan sebagai Projek Permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi Greater Kuala Lumpur (GKL) / Lembah Klang oleh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), akan mendorong integrasi dan kecekapan pengangkutan awam bandar.

MRT terdapat dua laluan iaitu MRT 1 (Sungai Buloh – Kajang) sepanjang 51 kilometer dan MRT 2 (Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya) sejauh 52.2 kilometer.

Kapasiti tren pula ialah seramai 1,200 penumpang pada satu-satu masa yang melibatkan empat gerabak sekaligus menampung 400,000 penumpang setiap hari.

Kelajuan MRT ialah 100km/j dengan kadar kekerapan 3.2 minit.

Projek MRT ini dikendalikan oleh anak syarikat Prasarana Malaysia iaitu Rapid Rail Sdn Bhd.

Projek MRT ini juga merupakan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara yang dikemudi oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutann Awam Darat (SPAD) bagi menggerakkan pelan komprehensif 20 tahun mentransformasikan pengangkutan awam negara bagi merealisasikan cita-cita menjadikan pengangkutan awam sebagai kelas pertama.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker