Kategori Politik

Selami kekalahan pembangkang pada PRN Sarawak

72 kerusi daripada 82 jumlah keseluruhan kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke 11, dimenangi Barisan Nasional sekaligus berjaya menubuhkan kerajaan dengan mandat kukuh.

Sementara parti pembangkang hanya mendapat kepercayaan pengundi di 10 kerusi. DAP menguasai sokongan dikalangan parti-parti lain pembangkang dengan mendapat 7 kerusi manakala PKR 3. ‘Adik’ baharu dalam Pakatana Harapan iaitu Amanah gagal mendapatkan sebarang kerusi. Begitu juga dengan PAS.

Tolak seketika Amanah dan PAS, mari kita menyelami apa yang berlaku antara DAP dan PKR.

Sedia maklum, DAP dan PKR masing-masing sudahpun memberi isyarat tentang impian merebut kerusi dibeberapa kawasan.

Sebelum penamaan calon lagi isu perebutan kerusi berlegar-legar di meja bulat Pakatan Harapan. Organisasi parti diperingkat pusat tidak lagi dihormati. ‘This is Sarawak’.

Atas kertas kedua-dua parti ini dicetak sebagai gabungan adik-beradik yang cukup rapat dalam keluarga, bagai air dicincang tidak akan putus.

Sekali lagi, ‘this is Sarawak’, nakhoda yang duduk di pusat tidak lagi disanjung tinggi. Apa jua keputusan dalam menentukan calon perlu rujuk pada ‘Ketua Kampung’.

Tidak semudah yang disangka, kampung itu sendiri bagaimanapun wujud perpecahan sesama mereka. Masing-masing tidak mahu mengalah dan mahu menunjukkan kekuatan dengan menonjolkan sokongan rakyat kepada mereka. DAP mungkin kata mereka mampu menawan pengundi Cina manakala PKR mengawal pengundi Bumiputera.

Isu perebutan kerusi berlanjutan sehingga hari penamaan calon iaitu pada 25 April 2016. Antara peristiwa awal yang dapat dirakamkan ketika PRN Sarawak kali ini ialah apabila dua orang calon BN beroleh kemenangan mudah – menang tanpa bertanding di kerusi Bukit Sari dan Bukit Kota.

Peristiwa ini tidak akan terpadam daripada sejarah demokrasi di negeri Sarawak. Sibuk dalam perebutan kerusi sehingga menyebabkan calon PKR gagal bangun pagi pada hari penamaan calon ketika itu. Lebih mengejutkan apabila seorang lagi calon tidak layak bertanding berikutan muflis. Kemaruk mengidamkan kerusi sehingga terlupa menyemak status diri sendiri samada layak atau sebaliknya. Syarat-syarat untuk menjadi calon bertanding sudah lama disiar cetak dalam buku panduan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mungkin pihak parti PKR tidak sempat meneliti buku panduan tersebut.

Sejurus SPR mengumumkan senarai yang layak bertanding dalam PRN Sarawak, pengundi kemudiannya dihidangkan dengan pertindihan kerusi antara sesama parti dalam Pakatan Harapan. DAP-PKR secara rasminya mengisytiharkan ‘perang saudara’ apabila berlawan sesama sendiri di beberapa kawasan.

Siri-siri ceramah Pakatan Harapan ketika tempoh berkempen kelihatan muram. Kehadiran pemimpin-pemimpin mereka termasuk yang diterbangkan khas dari Selangor dan Pulau Pinang gagal beroleh kepercayaan pengundi. Pengundi tidak lagi mahu terperdaya dengan segala isu-isu tempatan dan nasional yang dimainkan Pakatan Harapan.

Rakyat Sarawak memaparkan wajah ceria serta menaruh harapan tinggi ketika berjumpa calon-calon dan pemimpin BN. Pemerintahan BN di Sarawak menerusi kesinambungan pentadbiran Abdul Taib Mahmud – Adenan Satem mengundang keterujaan masyarakat majmuk di Bumi Kenyalang.

Ia sekaligus menyukarkan cita-cita DAP untuk menduduki 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, selepas persempadanan semula.

Berkuatkuasa 5 Disember 2015, kerusi DUN Sarawak bertambah kepada 82 berbanding 71 sebelum ini apabila Dewan Rakyat meluluskan Usul Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak 2015.

Persempadanan semula menerusi pindaan undang-undang ke atas Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak itu antara lain bertujuan meningkatkan taraf hidup ekonomi serta merancakkan pembangunan di negeri Sarawak.

Sementara urusan persempadanan itu pula tertakluk kepada peruntukan Fasal (3B) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Sekalipun ada kerusi baharu, parti-parti dalam Pakatan Harapan tetap gagal meraih kepercayaan daripada pengundi bagi mentadbir negeri Sarawak. Lebih malang, peratus sokongan rakyat kepada mereka menurun berbanding PRN10!

Keputusan penuh PRN11 Sarawak di sini.

Keputusan penuh PRN Sarawak ke- 11







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker