Kategori Destinasi

Kimchi di Kuala Lumpur

12632994_10205552429077330_1889547831_oMemiliki bakat yang besar untuk menari serta menyanyi secara ‘live’ mungkin membuatkan K-Pop semakin popular di seluruh dunia. Begitu juga di Malaysia, sebut sahaja tentang kumpulan BigBang, Super Junior, Bangtan Boys, Wonder Girls dan Girls’ Generation pasti ada anak gadis yang teruja sehingga boleh digelarkan ke tahap ‘histeria’.

Tidak hairanlah peminat-peminat artis K-Pop ini terutamanya anak gadis sanggup berhabisan duit semata-mata untuk bertemu idola kesayangan mereka.

Bagi peminat artis mahupun filem Korea, pasti tidak terlepas untuk merasai makanan mereka bukan? Ada yang mengadu, ketika melancong ke Korea, sukar untuk mencari makanan yang halal. Jadi, ada di antara rakyat Korea,berhijrah ke Malaysia dan membuka restoran makanan bertepatan dengan selera orang Malaysia.

sopoong kedai
Penulis sempat singgah ke Restoran Sopoong di Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail untuk merasai kesedapan makanan Korea itu sendiri. Mungkin cara membuatnya telah diubah sesuai dengan tekak orang Malaysia.

12632975_10205552428917326_346111828_o

Bulgogi Dolset Bibimbap berharga RM22.90

Bagi penggemar sayur, Bulgogi Dolset Bibimbap boleh dijadikan sebagai hidangan pilihan kerana hidangan yang disediakan dipenuhi dengan sayuran seperti lobak merah, taugeh, timun, cendawan, rumput laut (seaweed) dan daging di tengah mangkuk. Jangan bimbang,hidangan ini juga ada nasi, tapi tidak kelihatan kerana dipenuhi dengan timbunan sayur dan daging.

Setiap set makanan akan sertai dengan semangkuk sup dan juga tiga ‘side dish’ iaitu kimchi kobis, coslow dan timun.

Kimchi merupakan makanan tradisional yang paling terkenal di Korea Selatan. Kimchi merupakan lauk wajib sebagai pelengkap kepada orang Korea. Bagi orang Malaysia, kimchi ni ala-ala sambal belacan. Jika orang Korea makan tanpa kimchi, mereka akan merasakan sesuatu yang tidak lengkap. Kimchi sama ada di Korea mahupun di Malaysia, ia halal dimakan kerana ia diperbuat daripada sayur seperti kubis China, timun dan lobak merah yang rendam dalam air garam , lalu di perap dengan dengan serbuk cili, bawang putih, bawang bombay, daun bawang, dan sos ikan.

Bau masam menyengat mungkin membuatkan ada yang tidak mampu untuk menelannya, tapi bagi penulis,kimchi satu hidangan yang sedap untuk dimakan. Rasa masam, pedas dan manis bercampur bila kimchi masuk ke mulut.

12656218_10205552428877325_1495723693_o

Gimbap + toppoki berharga RM16.90

Seterusnya, gimbap. Rupa bentuknya lebih kurang seperti sushi, tetapi rasanya lain. Bagi yang tidak menggemar sushi, mungkin gimbap boleh menjadi pilihan. Isi yang terdapat dalam gimbap seperti sosej, timun, lobak merah, pulut dan disaluti rumput laut mampu membuka selera.

Topokki yang turut terdapat dalam set ini lain pula ceritanya.  Ia merupakan ‘jajan’ yang boleh didapati di tepi jalanan di Korea. Ia diperbuat daripada tepung beras dan boleh dinikmati pada bila-bila masa sahaja. Topokki akan dihidangkan bersama sos merah yang pedas dan panas. Pada musim sejuk, topokki merupakan hidangan yang paling disukai.

Struktur topokki yang kenyal ketika dikunyah mungkin memberi rasa yang berbeza buat sesiapa yang baru pertama kali mencubanya.

12637084_10205552428997328_107557017_o

Dakgalbi berharga RM18.90

Dakgalbi juga merupakan hidangan popular Korea yang diperbuat daripada isi ayam yang dipotong dadu dan diperap dengan pes cili. Ia akan dihidangkan bersama sayur seperti kubis, ubi keledek, daun bawang, dan topokki di dalam mangkuk yang panas bersama nasi.

Bulgogi merupakan hidangan yang boleh dijadikan sebagai pilihan jika anda singgah ke Sopoong. Bulgogi merupakan daging yang dimasak dengan menggunakan sos khas, jus buah pir, bawang putih dan kicap. Bulgogi juga dihidangkan bersama nasi dan enak dimakan ketika panas.

12656197_10205552429037329_1801036400_o

Bulgogi berharga RM19.90

 

Makanan Korea biasanya dihidangkan ketika masih panas, jadi awas! Bila hidangan tiba di atas meja, jangan terus masuk ke mulut, biarkan beberapa minit. Melainkan, anda kebal dengan masakan panas.

Ada beberapa cara dan etika yang diamalkan orang Korea semasa makan iaitu :

  1. Orang muda tidak boleh makan mendahului orang tua. Ketika makan , sebaiknya memberi penghormatan kepada golongan yang lebih berusia untuk menikmati makanan terlebih dahulu. Itukan lebih sopan!
  2. Tidak boleh makan dengan menggunakan sudu dan mengepit (chopstik) dalam satu tangan. Maksudnya kita tidak boleh makan menggunakan chopstik di tangan kanan dan sudu di tangan kiri atau sebaliknya. Cara yang betul ialah jika kita menggunakan chopstik makan sudu perlu diletakkan terlebih dahulu di atas meja dan begitulah sebaliknya.
  3. Tidak boleh bercakap sewaktu makan. Etika ini sama sahaja di setiap negara. Diam ketika makan dan nikmatilah hidangan yang disediakan.
  4. Lauk pauk dimakan dengan chopstik sahaja. Di Korea, chopstik hanya boleh digunakan untuk mengambil lauk pauk sahaja seperti kimchi, dan side dish yang lain. Tidak boleh mengambil lauk menggunakan sudu kerana ia hanya boleh digunakan untuk mengambil nasi dan sayuran berkuah sahaja.

Begitulah cara dan etika yang diamalkan oleh orang Korea ketika makan.

Selain Quill City Mall, restoran Sopoong ini juga boleh didapati di Berjaya Times Square dan IOI City Mall. Tidak salah mencuba makanan daripada negara luar, tidak dapat jejak kaki ke negara Korea, dapat makan makanan Korea pun jadilah. Selamat mencuba!







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker