Kategori Destinasi

Dekati gajah di Kuala Gandah, Pahang

feeding-Kuala-Gandah-Elephant-Sanctuary2-470Namanya tidak sepopular destinasi lain yang sering meniti di bibir pelancong tempatan mahupun luar negara, tetapi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, yang terletak di Kuala Gandah bukan asing di kalangan peminat mamalia terbesar darat.

Terletak di Lanchang, Pahang di sinilah peminat mamalia dapat melihat haiwan itu  dengan lebih dekat.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat gajah dengan lebih dekat, bahkan memberi peluang kepada para pengunjung untuk memberi makan, menunggang gajah dan mandi bersama anak gajah.2113682_orig

Ia pasti menjadi satu pengalaman yang berharga apabila membawa satu keluarga ke pusat ini untuk melihat gajah dengan lebih dekat selain melakukan aktiviti bersama mereka. Jangan lupa!! Bawa pakaian persalinan jika berkunjung ke pusat ini, kerana anda pasti akan teruja untuk mandi bersama anak gajah.

Bagi pengunjung yang datang dari arah Kuala Lumpur, perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam melalui Lebuhraya Pantai Timur Kuala Lumpur – Kuantan. Keluar tol Lanchang dan ikut arah papan tanda.

Pusat ini beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang setiap hari kecuali cuti umum. Aktiviti bersama gajah akan dimulakan pada pukul 2 petang, selepas para pengunjung melihat tayangan video dokumentasi proses menyelamatkan gajah liar dari kawasan konflik ke habitat baru dengan menggunakan dua ekor gajah denak.

Mana gajah? Tak nampak gajah pun…mungkin itulah soalan pertama yang terlintas apabila pertama kali menjejakkan kaki ke pusat ini. Gajah-gajah yang terdapat di pusat ini, tidak dibiarkan berkeliaran, tetapi diberikan kawasan khas. Mereka hanya akan dibenarkan keluar pada waktu pagi (8 pagi) untuk aktiviti bersama mahut dan petang (2 petang) untuk aktiviti bersama para pengunjung.

Pengunjung yang datang perlu berdaftar di bangunan utama yang terletak di pintu masuk pusat ini terlebih dahulu. Mereka harus melengkapkan borang Akuan Lepasan Tanggungjawab yang telah disediakan bagi memudahlan statistik dibuat terhadap jumlah pengunjung yang datang. Selain itu, borang itu juga merupakan perjanjian di antara pihak pusat dan pengunjung jika sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, ia bukanlah di bawah tanggungjawab pihak pusat.

Tiada bayaran dikenakan, namun para pengunjung boleh memberi sumbangan seikhlas hati kerana duit itu akan disalurkan bagi membeli keperluan gajah di sini.

Kuala-Gandah-Elephant-Conservation-Centre-002Setelah selesai urusan pendaftaran, pengunjung akan diberi pelekat berwarna merah. Maka bermulalah pengembaraan untuk melihat dan mengenali haiwan itu dengan lebih dekat. Sementara menunggu aktiviti pada pukul 2 petang, para pengunjung boleh berjalan-jalan di kawasan pusat tersebut. Para pengunjung juga boleh merehatkan diri di tepi sungai yang terdapat di tengah-tengah pusat ini.

Bagi yang ingin melihat tayangan video dokumentasi gajah liar pada pukul 1 petang, bilik tayangan terletak di bangunan utama, bangunan yang sama tempat pendaftaran. Tetapi bagi mereka yang mungkin tidak sabar untuk melihat haiwan ini, boleh terus ke kawasan khas tempat aktiviti bersama gajah. Jangan risau, penunjuk arah disediakan!

Teruja..sampai ke kawasan aktiviti, perasaan teruja pun tiba. Tambahan pula terdengar bunyi gajah menguak, langkah berjalan semakin laju, bukaan langkah semakin besar, tidak sabar untuk melihat apa yang berlaku di kawasan aktiviti, tidak sabar nak turut menyertai pengunjung lain.

My Iphone - Alif Mustapha 309Para pengunjung sedang melihat anak gajah yang berada di dalam kandang. Kelihatan gajah mengeluarkan belalainya di celah-celah kandang yang diperbuat daripada kayu itu, mungkin untuk meminta makanan daripada pengunjung. Sesekali terdengar jeritan pengunjung apabila belalai gajah terkena pada badan mereka. Tidak kurang juga terdengar tangisan kanak-kanak yang mungkin terkejut melihat haiwan ini yang begitu besar saiznya.

Jam menunjukkan hampir pukul 2 petang, terdengar bisikan para pengunjung yang bertanyakan bila aktiviti akan bermula, mungkin tidak sabar untuk memberi haiwan ini makan. Tetiba keadaan menjadi riuh, ada yang menjerit kecil, ada juga yang berganjak ke belakang. Pelbagai reaksi dapat dilihat apabila gajah ditunggang mahut di bawa ke kawasan utama aktiviti.

Pada masa itu, rata-rata mengeluarkan telefon bimbit, kamera, mahu mengambil gambar gajah-gajah yang ada, tidak mahu terlepas detik berharga itu. Mungkin pada masa ini, taklimat yang diberikan oleh pegawai pusat tidak lagi diambil pusing, kerana pengunjung lebih tertarik untuk melihat gajah dan gaya yang bakal dilakukan mereka nanti.

Pegawai pusat memberikan taklimat ringkas mengenai penubuhan pusat pemuliharaan ini, dan juga memperkenalkan gajah-gajah yang akan turut serta melakukan aktiviti bersama para pengunjung.Teknik untuk memberi makan kepada gajah juga diterangkan kepada pengunjung.

Apabila seekor-seekor nama gajah disebut, mereka akan membuat gaya menurunkan kaki hadapan, menundukkan kepala dan mengangkat belalai sebagai ucapan selamat datang.

show-kuala-gandah-elephant-sanctuary2__largeAda juga gajah yang disuruh oleh mahut masing-masing untuk melakukan gaya baring,duduk, tidak kurang juga arahan untuk mengambil syiling 50 sen menggunakan belalai mereka. Segala gaya yang dilakukan pasti diiringi tepukan gemuruh para pengunjung.

Selesai sesi taklimat ringkas, beberapa bekas yang dipenuhi buah-buahan seperti betik, tembikai, tebu dan pisang diletakkan berhampiran para pengunjung,aktiviti memberi makan kepada gajah akan bermula. Masing-masing mengambil buah-buahan dan hampiri gajah, namun pagar kayu menandakan had untuk para pengunjung berdiri disediakan bagi aktiviti tersebut. Jika terlalu dekat, mungkin akan mengakibatkan gajah terkejut dan mampu bertindak diluar jangkaan.

Basah, berlendir…itulah yang dirasakan bila beri makan kepada gajah.Bagi yang berani dan ingin mencari pengalaman, boleh la masukkan buah ke dalam mulut gajah, tetapi jika masih takut dan ragu, memadai hulurkan buah dan gajah itu akan mengambil sendiri menggunakan belalainya. Seronok!Gandah Elephant peanut feed

Aktiviti seterusnya ialah menunggang gajah. Pengalaman ini harus dirasai oleh pengunjung kerana di pusat ini, pengunjung menunggang gajah tanpa menggunakan kerusi khas seperti yang kita lihat di tempat lain. Oleh itu, kita dapat merasa sendiri duduk di atas badan gajah. Geli, sakit bila bulu gajah yang tajam tu mencucuk peha. Namun, ia sesuatu yang berharga. Satu pusingan dihadkan dan setiap seekor gajah dewasa boleh ditunggang oleh 3 hingga 4 orang dewasa.

My Iphone - Alif Mustapha 305Seterusnya, aktiviti yang dinantikan oleh pengunjung. Mandi bersama anak gajah. Pengunjung boleh turun ke sungai dan mandi bersama anak gajah. Usap badan mereka dan bergambar dengan mereka di dalam sungai. Pasti akan menjadi kenangan terindah buat anda.

Selesai aktiviti, singgahlah di kedai cenderahati yang terdapat di dalam pusat tersebut. Pelbagai jenis cenderahati yang tertera dengan gambar gajah ada dijual, jadikan ia sebagai tanda kenang-kenangan.

Selain memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali gajah dengan lebih dekat, kewujudan pusat ini turut memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya kepupusan di mana gajah merupakan antara spesis yang semakin terancam di negara ini.

Kenalilah negara kita. Banyak tempat menarik yang ada untuk di lawati.

Alamat / Lokasi :
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah,
Jabatan Perhilitan, Kuala Gandah,
28500,Lanchang,
Pahang Darul Makmur.

Waktu operasi :
Setiap hari : 8 pagi – 4.30 petang

Hubungi :
Telefon : 09 279 0391
Faks : 09 2790398

*mungkin terdapat beberapa perubahan aktiviti di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ketika artikel ini ditulis*







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker