Kategori Destinasi

Kota Kuala Kedah – Pintu Kebal Utara

Kota Kuala Kedah adalah sebuah kota lama yang menjadi benteng pertahanan utama bagi Negeri Kedah pada zaman dahulu.

Kota ini terletak di muara Sungai Kedah, hanya 10km dari Bandaraya Alor Setar. Berbentuk segi empat, ia berada di utara tebing sungai Kedah, di mana tembok sebelah barat menghadap ke arah Selat Melaka, tembok Selatan pula menghadap sungai menghala ke Pekan Kuala Kedah, utara tembok menghadap kawasan paya, bahagian timur tembok pula menghadap perkampungan nelayan dan sawah padi.

kotakedah1

Kawasan tembok yang menghadap daratan dikelilingi pula dengan parit yang dikenali dengan nama Alor Melaka. Ketika berfungsi sebagai markas ketenteraan, kawasan kota ini telah dibina istana raja, rumah pengawal, kawasan makan, meriam dan pondok-pondok atau khemah untuk askar.

Pintu utama pula menghadap sebelah timur Alor melaka. manakala setiap penjuru kota ini dikelilingi dengan meriam-meriam kecuali ditembok yang menghadap paya.

Nama asal kota ini ialah Kota Kuala Bahang dan diasaskan oleh Sultan Sulaiman Syah pada tahun 1602 ke 1619 dengan bantuan dari Portugis sendiri.

Pada awalnya, kota ini digunakan oleh Portugis sebagai gudang untuk tujuan perdagangan berbanding sebagai kota pertahanan tentera.

Ia juga dibina agar tidak mudah terbakar. Walaubagaimana pun, kota ini lebih dilihat seperti kota pertahanan Portugis oleh musuh-musuhnya.

Akibatnya, salah satu dari musuhnya, iaitu Acheh, telah menyerang Kota Kuala Kedah pada tahun 1619. Sultan Mahkota Alam dari Acheh telah menyerang kota tersebut dan menghalau Potugis dari situ.

kedah11

Mahkota Alam juga telah menakluk seluruh negeri Kedah, serta menawan 7000 rakyat termasuk Sultan Kedah sendiri dan membawa mereka ke Acheh.

Pada tahun 1650, kerajaan Kedah telah membeli 30 pucuk meriam dari Portugis untuk menguatkan lagi benteng pertahanan kota ini.

Pada 1724, berlaku perang saudara antara Sultan Muhammad Jiwa dan adiknya yang berhasrat untuk merampas kuasa. Sultan Muhammad Jiwa dibantu oleh Pahlawan Bugis, iaitu Daeng Parani yang mempunyai kekuatan 62 buah perahu perang dari Riau dan Selangor.

kotakedah2

Manakala adik sultan pula dibantu oleh Raja Kechil dan pengikutnya dari Minangkabau untuk menghalau Bugis dari Kedah.

Raja Kechil berjaya menawan Kota Kuala Kedah tetapi bantuan yang tiba dari abang Daeng Perani, iaitu Daeng Merewah berjaya menghalau Raja Kechil dan pengikutnya keluar dari Kedah dan kembali ke Siam.

Perang tersebut mengambil masa selama dua tahun dan mengakibatkan kemusnahan besar negeri Kedah.

Sekitar tahun 1771, Portugis sekali lagi memainkan peranan dalam tampuk pemerintahan negeri Kedah apabila mereka telah memihak kepada kumpulan pemberontak untuk menggulingkan sultan.

Mereka berjaya menakluk Kota Kuala Kedah dan merampas 300 pucuk meriam pelbagai saiz. Bagaimanapun, Sultan berjaya merampas kembali Kota Kuala Kedah dengan bantuan dari Kapten Francis Light.

Pada mulanya, beliau berjanji akan menggunakan Kota tersebut untuk melindungi negeri Kedah dari serangan musuh. Bagaimanapun janji tersebut tidak pernah ditepati di mana mereka pula yang bersekutu dengan musuh Kedah, iaitu Siam.

kedah12

Selepas tahun 1771, Sultan Abdullah Mukaram Shah bercadang untuk menguatkan lagi kota ini dengan membeli meriam-meriam yang lebih besar seperti yang digunakan oleh musuh-musuhnya, iaitu Siam dan Bugis.

Dinding kota ini diperkuatkan dengan batu-bata yang lebih kukuh. Ciri-ciri yang lebih moden seperti lubang untuk menempatkan senapang dan meriam juga telah dibina.

Meriam-meriam yang lebih besar dibeli dari Acheh, Minangkabau dan Brunei. Pembinaan kota ini siap sepenuhnya pada tahun 1780.

Peristiwa pahit kota ini bermula pada tahun 1821 apabila pertama kali diserang oleh angkatan perang dari Siam. Sultan dan angkatan perang Kedah telah berundur dan terpaksa bertahan di Pulau Pinang.

Pada tahun 1831 putera sultan sendiri, Tengku Kudin telah mengetuai 3000 angkatan perang orang Melayu dari Prai telah menyerang Siam di Kedah dan menghalau mereka jauh hingga ke sempadan Siam.

Kerajaan Siam dan British telah mengisytiharkan orang-orang Melayu itu sebagai perompak, lanun dan pengganas. Begitupun kemenangan angkatan Kedah tersebut tidak lama di mana mereka kembali diserang oleh Siam dan terpaksa berundur dan bertahan di Kota Kuala Kedah.

kotakedah5

Kekebalan benteng Kota Kuala Kedah menyebabkan pihak Siam terpaksa membina menara tinggi untuk menembak orang melayu yang bertahan di dalam kota.

Setelah bertahan selama 3 bulan dan bertempur menentang 7500 askar dan 3000 gajah dari Siam, Kota Kuala Kedah akhirnya jatuh juga ke tangan Siam. Tengku Kudin sendiri terbunuh dalam pertempuran tersebut dan kepalanya telah dihantar ke Bangkok.

Setelah berperang selama hampir 21 tahun, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II telah menghantar putera bongsunya, Tunku Dai untuk menghadap Raja Rama III.

Dalam pertemuan tersebut, Tunku Dai berjanji akan mengakui kedaulatan Siam dengan syarat Sultan Kedah dikembalikan takhta semula. Baginda telah kehilangan Perlis dan Setul/Satun dimasukkan dalam jajahan Siam. Akhirnya, Baginda kembali menjadi Sultan Kedah pada Jun 1842.

Sesungguhnya Kota Kuala Kedah telah menyimpan pelbagai kenangan jerih payah Sultan-sultan Kedah yang terdahulu bersama angkatan perang Kedah. Mereka berusaha sedaya upaya mempertahankan kedaulatan Negeri Kedah ini dari ancaman jajahan negara luar, sehinggakan Kapten Sherard Osborn, Pegawai Tentera laut British ketika perang Kedah-Siam 1838 telah membuat kenyataan berikut:

kedah14

“Seperti anjing… pribumi (yakni org India) di sepanjang persisir pantai semenanjung India menjilat tangan yg mendera mereka. Tetapi tidak bagi orang Kedah! Dan kita orang Inggeris seharusnya menjadi yang pertama memuliakan bangsa yang tidak tunduk kepada kekejaman”.

Bagi mereka yang mahu menyelami sejarah Kota Kuala Kedah, boleh datang dan tengok sendiri di Muzium Kota Kuala Kedah, koordinatnya  6°6’32″N   100°17’12″E.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker