Kategori Destinasi

Masjid Zahir masjid tertua dan tercantik Kedah

Masjid Zahir bukanlah asing bagi rakyat Kedah kerana ia adalah masjid yang tertua di negeri itu dan diiktiraf sebagai antara yang tercantik di Malaysia.

Masjid Zahir kini menjadi mercu tanda bagi Negeri Kedah. Lazimnya pelancong yang datang ke negeri itu semestinya tidak melepaskan peluang untuk singgah dan bergambar di sekitar Masjid Zahir yang bersejarah ini.

Binaannya yang unik pastinya akan memukau setiap mata yang memandang. Tapak asal Masjid Zahir ini dahulu merupakan tapak pusara bagi pejuang yang syahid ketika mempertahankan Kota Kuala Kedah dan Balai Besar Negeri dari dibakar oleh Siam.

Peperangan di antara Kedah dengan Siam itu terjadi pada tahun 1821. Bagaimanapun, sebelum Masjid Zahir dibina, kesemua tapak kubur para syuhada itu sudah dialihkan ke lokasi lain.

Masjid Zahir yang sentiasa indah dan mempunyai nilai estetika

Mungkin juga ramai yang tidak tahu pada tahun 1735 semasa zaman pemerintahan Sultan Kedah ke-19, iaitu Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II, baginda telah membina sebuah masjid berbumbung nipah dan diperbuat dari kayu di tapak yang sama dengan Masjid Zahir.

Masjid lama itu terletak betul-betul berhadapan Istana Kota Setar yang turut dikenali dengan pelbagai nama termasuk Istana Mak Wan Besar, Istana Pelamin atau Rumah Pelamin iaitu lokasi di mana Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II bersemayam. Sekarang ini dikenali sebagai Muzium diRaja Kedah.

Pada waktu dahulu, nobat akan dibunyikan di Balai Nobat sebelum azan Jumaat yang pertama kerana Almarhum Sultan akan berangkat ke masjid ini untuk bersolat Jumaat. Tetapi akan kini, permainan nobat telah dimansuhkan.

Masjid yang lama cuma mampu menampung kira-kira 600 orang Jemaah, jadi Almarhum Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang merupakan Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri telah mengilhamkan pembinaan Masjid Zahir bermula pada hari Isnin, 11 Mac 1912 bersamaan 22 Rabiul Awal 1330 Hijrah. Masjid lama pula telah dialihkan ke Alor Merah.

Masjid Zahir kebanggaan warga Kedah

Bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar, Tunku Mahmud telah mengamanahkan kepada lima Ahli Jawatankuasa Negeri untuk memantau perkembangan projek tersebut, diketuai anakanda saudaranya yang juga anakanda sulung Sultan Abdul Hamid, Tunku Ibrahim.

Empat yang lain adalah Hakim Besar Negeri, Syed Hassan Syed Muhammad Barakbah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhamad Ariffin Muhammad Arshad, Penasihat British, W.G Maxwell serta Jurutera Negeri, James Gorman yang turut dipertanggungjawabkan melukis pelan bersama rakyat tempatan dikenali dengan nama Pak Din.

Tunku Mahmud telah menitahkan Gorman untuk mencari rekabentuk masjid tercantik di Sumatera untuk dijadikan panduan. Gorman telah ke Sumatera Utara dan mengambil contoh senibina Masjid Azizi di Kota Tanjung Pura iaitu pusat pemerintahan Kesultanan Langkat.

Sungai Kedah di belakang masjid memudahkan pedagang singgah solat

Masjid Zahir mempunyai keluasan tapak kira-kira 124,412 kaki persegi. Dewan tengahnya iaitu Dewan Solat berukuran 62 x 62 kaki persegi dan dikelilingi oleh beranda berukuran lapan kaki lebar dengan empat anjung yang setiap satunya terdapat sebuah kubah.

Masjid Zahir terkenal dengan ciri kubah hitam, iaitu satu kubah utama dan empat kubah lebih kecil, yang melambangkan lima Rukun Islam.

Menara utamanya terletak di bahagian timur laut bangunan masjid itu. Apa yang menariknya ialah, masjid ini menggunakan bahan campuran seperti putih telur, madu lebah dan cengkerang sebagai bahan pengikat lepaan antara batu bata.

Kesemua bahan ini mudah didapati kerana di bahagian belakang Masjid Zahir adalah Sungai Kedah, dan di sepanjang sungai itu terdapat banyak pokok limau dan pokok tualang untuk lebah menghasilkan madu.

Masjid Zahir telah dirasmikan pada hari Jumaat, 15 Oktober 1915 bersamaan 6 Zulhijah 1333 Hijrah, majlis perasmian itu dihadiri oleh ramai alim ulama termasuk dari luar negara. Perasmiannya pula disempurnakan oleh Sultan Abdul Hamid.

Masjid Zahir diiktiraf ke empat tercantik di dunia

Ketika masuk waktu solat Jumaat, Kadi Besar yang dikenali dengan nama Syeikh Ismail melaungkan azan.

Setelah itu, khutbah dibaca oleh Tunku Mahmud sementara Sultan Abdul Hamid pula telah berkenan untuk mengimamkan solat Jumaat.

Apabila masjid itu dibuka, setiap Jumaat para alim ulama yang menganggotai Ahli Majlis Fatwa yang diketuai oleh Syeikh Wan Sulaiman akan berkumpul di situ bagi berbincang mengenai fatwa.

Kini, setelah lebih 100 tahun, Masjid Zahir atau dikenali juga sebagai Masjid diRaja telah diperbesarkan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1960 dan pada tahun 1975.

Masjid Azizi di Kota Langkat

Masjid Zahir juga diiktiraf sebagai masjid yang ke empat tercantik di dunia. Oleh itu, rakyat Kedah perlu berbangga dan terus menghargai warisan dan khazanah negeri yang sangat bernilai ini.

Untuk pelancong yang ingin melawat Masjid Zahir, di sekeliling Masjid juga terdapat lokasi-lokasi yang menarik untuk dilawati seperti  Galeri Sultan Abdul Halim, Balai Nobat, Balai Besar, Balai Seni Negeri, Pekan Rabu, Rumah Merdeka, dan juga Menara Alor Setar.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker