Kategori Destinasi

Alami Keunikan Kuala Selangor

Oleh : Alif M

Kuala Selangor yang terletak di Barat Laut negeri Selangor terkenal dengan kisah-kisah menarik. Cerita-cerita sejarah, makanan laut yang segar dan kilauan kelip-kelip berupaya memukau para pelancong tempatan mahupun barat.

Golongan yang cintakan sejarah sudah pasti mahu mengambil peluang melawat Bukit Malawati yang terletak di pekan lama Kuala Selangor, terutamanya pelancong asing yang mahu menjejaki kisah-kisah peninggalan nenek moyang mereka.

Bukit Malawati, juga dikenali dengan nama Bukit Selangor, berada pada kedudukan yang strategik – menghadap laut Selat Melaka dan Sumatra, Indonesia.

Suatu ketika dahulu sekitar tahun 1784, kawasan ini pernah dikuasai Belanda selepas mereka menewaskan Portugis di Melaka. Namun setahun kemudian, bukit ini kembali semula ke tangan Sultan Ibrahim sambil dibantu adindanya, Dato’ Penggawa Permatang Mahabijaya atau lebih dikenali sebagai Penggawa Tua dan Bendahara Adb. Majid Pahang.

kuala-selangor-bukit-melawati2

Belanda berjaya diusir keluar dalam satu pertempuran yang berlaku dalam tempoh hanya satu malam sahaja iaitu selepas waktu Isyak hingga fajar belum menyinsing.

Selepas itu Bukit Malawati terus menjadi kawasan pentadbiran kerajaan Kesultanan Selangor sehingga ke abad 18-19 yang diperindahkan lagi dengan pembinaan Masjid Kuala Selangor, Taman Alam, pangkalan nelayan Permatang dan jeti di sini.

Maka tidak hairanlah wujudnya kediaman-kediaman pegawai tinggi kerajaan dan kesan-kesan peninggalan sejarah di Bukit Malawati ini.

Batu hampar juga wujud di atas bukit ini yang dijadikan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti memenggal kepala pesalah.

Selain itu, terdapat juga sebuah telaga beracun yang terletak berhampiran dengan Muzium Sejarah Kuala Selangor. Telaga beracun ini dihasilkan daripada ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung.

Selain pancung, ada juga penderhaka atau pesalah yang dimasukkan ke dalam perigi berkenaan dan direndam seluruh badan mereka sehingga ke paras dagu ketika menerima hukuman.

Sementara itu, terdapat menara tinjau untuk melihat anak bulan turut terdapat di atas Bukit Malawati ini bagi menentukan tarikh permulaan puasa dan hari raya untuk masyarakat Islam. Menara tinjau ini masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Dalam perkembangan lain, statistik yang direkodkan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor bagi suku tahun pertama tahun 2014 menunjukkan bilangan pengunjung ke Bukit Malawati mengatasi lokasi lain di daerah ini iaitu seramai 38,188 orang.

Selain menjejaki peninggalan sejarah, keletah lotong juga menarik perhatian pengunjung untuk datang ke sini terutamanya pengunjung cilik.

20150605_143538

Kehadiran keluarga lotong yang jinak ini seolah-olah bertindak sebagai ‘penyambut tetamu’ yang meraikan kehadiran pengunjung. Para pengunjung dibenarkan untuk bermain atau memberi makan kepada haiwan ini tetapi perlu menjaga keselamatan diri sendiri.

Tidak hairanlah apabila kelihatan kanak-kanak tidak lagi mengerumi peniaga bermotosikal untuk membeli aiskrim mahupun gula-gula sebaliknya ingin mendapatkan makanan untuk lotong!

Antara makanan kegemaran lotong ialah seperti kacang panjang dan kangkung segar. Awas! Jangan dekati lotong apabila membawa makanan yang banyak kerana anda pasti akan diserbu secara rakus!

Perkhidmatan kereta api jalanraya atau trem turut disediakan di pintu masuk Bukit Malawati dengan kadar bayaran RM5.00 setiap seorang dewasa.

Perkhidmatan ini hanya disediakan pada hari Sabtu dan Ahad. Selain hari berkenaan, para pengunjung perlu mendaki sendiri bukit ini atau menaiki kenderaan masing-masing.

cendol

Setelah penat mendaki, Cendol Bakar yang terletak di Kampung Assam Jawa, Jalan Bukit Rotan (laluan ke Lebuhraya Latar) adalah destinasi yang sesuai untuk membasahkan tekak. Perniagaan di sini bermula seawal jam 10 pagi hingga 7 malam pada setiap hari. Apa rasa Cendol Bakar? Anda cubalah sendiri!

Kejar masa kerana banyak lagi destinasi yang hendak dituju? Usah khuatir… pandu lalu sahaja.

Jom! Kita teruskan perjalanan. Apa kata rehatkan mata dengan menghayati keindahan Pantai Remis. Jaraknya tidaklah berapa jauh daripada pusat bandar Kuala Selangor.

seafood

Kebiasaannya para pengunjung akan meluangkan masa beriadah bersama keluarga di sini. Bermain layang-layang, mencari kulit kerang dan menikmati keindahan matahari terbenam. Cukup romantis dan mengasyikkan.

Oh ya, buat pemburu makanan usah risau kerana banyak gerai makanan yang sedap-sedap di sini.

Sudah sampai masa untuk makan malam. Nama pun kuala, tempat yang sinonim dengan hidupan lautnya. Banyak restoran yang menyediakan hidangan makanan laut yang segar di Kuala Selangor.

pantai jeram

Antaranya di sekitar Pantai Remis, Pantai Jeram dan Pasir Penambang. Anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati kesegaran makanan laut di sini dan jangan lupa memesan hidangan mentarang!

Kunjungan anda ke Kuala Selangor tidak sah sekiranya tidak menjejakkan kaki ke Kampung Kuantan. Ya, di sini terdapatnya ‘rumah’ kelip-kelip. Hidupan terpelihara ini merupakan antara nadi utama Kuala Selangor.

Kilauan kelip-kelip yang memancar cahaya ini pasti membuatkan anda rasa terpesona. Perkhidmatan perahu tanpa enjin disediakan dengan dikenakan bayaran sebanyak RM50.00 untuk sebuah perahu.

Sebuah perahu boleh menampung empat hingga lima orang dewasa mengikut kesesuaian atau saiz badan. Anda akan dibawa menyusuri sungai selama kira-kira 20 hingga 30 minit.

kelip-kelip

Jika mahu merakamkan foto kelip-kelip, matikan lampu kamera kerana haiwan kecil ini cukup sensitif. Lagipun, anda akan mengalami kesukaran untuk merakamkan cahaya yang bergerak dengan menggunakan lampu. Kecantikkan yang sukar didapati ditempat lain ini akan membuatkan anda mengalami mimpi terindah.

Pengunjung boleh memilih pelbagai pilihan sekiranya berhasrat untuk menginap di Kuala Selangor. Samada ingin memilih hotel ataupun ‘homestay’ mengikut citarasa masing-masing.

Namun, ada juga pengunjung yang memandu selama satu atau dua jam dari ibunegara, Kuala Lumpur dan menggunakan masa sehari suntuk dengan sebaik mungkin di sini.

Selamat bercuti!

Penat mendaki Bukit Malawati,
Hirup Cendol Bakar hilangkan dahaga,
Ayuh ke Kuala Selangor bersama famili,
Membawa kenangan yang paling berharga.

Makanan laut hidangan keluarga,
Kilauan kelip-kelip cukup mempesona,
Dari Kuala Lumpur tidaklah jauh mana,
Kuala Selangor – Alami sendiri keunikannya.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker