Kategori Destinasi

DOL SAID PEJUANG TULEN

OLEH NAZRI NAZZ

MELAKA: Pahlawan Naning, Dato Dol Said atau Abdul Said terus menjadi sebutan penduduk Melaka terutamanya di Alor Gajah diatas keberaniannya menentang penjajah British yang sentiasa berusaha mengutip cukai penduduk kampung sekitar 1830-an.

Namanya yang diabadikan di banyak tempat di sekitar bandar ini termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Dol Said dan Masjid Dol Said di Tabung Naning menobatkan namanya yang gah dan begitu sinonim dengan perkembangan dan pembangunan daerah berkenaan.

Dol Said yang kental menentang British dengan enggan  menyerahkan 1/10 daripada hasil pertanian kepada Inggeris sebagai cukai dan berpendirian Naning sebagai sebuah wilayah yang merdeka dan tidak perlu membayar cukai kepada pihak Inggeris.

Keengganan Dol Said membayar cukai menyebabkan Inggeris mengisytiharkan  Dol Said sebagai penderhaka dan menghantar angkatan seramai 150 orang sepoi yang diketuai oleh Kapten Wyllie untuk menyerang Naning tetapi dapat dipatahkan pejuang terbabit.

Masjid Dato Dol Said_Fotor_Collage

Malah sepanjang tempoh 18 hari perang Naning  sekitar 1831 Dato Dol Said dikatakan mendapat sokongan 1,000 penduduk setempat yang menyebabkan Inggeris buntu untuk melakukan serangan dan menumpaskan Dol Said.

Walaupun akhirnya Inggeris berjaya menawan Taboh Naning menerusi pelbagai helah yang menyebabkan mereka berjaya menawan Tabong Naning, perjuangan dan semangat Dol Said amat bermakna buat penduduk berikutan dia tidak tunduk kepada keangkuhan penjajah.

Namun selepas ketiadaannya,  hanya nama yang tinggal buat pejuang terbabit menepati pepatah `harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ selain makamnya yang terletak berhampiran Masjid Dol Said di jalan Tabung Naning  ke Pekan Rembau yang menjadi kunjungan pencinta sejarah dan orang ramai.

Makam yang berwarna kuning berkenaan sering menjadi kunjungan banyak pihak sebagai tanda penghargaan dan mengenang jasa perjuangannya membela masyarakat menentang penjajahan.

Jawatankuasa masjid, penduduk setempat turut memberi perhatian serius bagi memastikan tiada mana-mana pihak melakukan amalan khurafat di tanah perkuburan berkenaan.

Malah Perbadanan Muzim Melaka (Perzim) juga memasang papan tanda melarang sebarang perbuatan syirik di kawasan perkuburan terbabit dengan tujuan sama melarang pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan amalan songsang berkenaan.

Penduduk, Firdaus Saad berkata, diakui terdapat kumpulan dan individu yang cuba melakukan perbuatan syirik termasuk mendapatkan nombor ramalan  namun berjaya dibenteras penduduk.

Katanya, pelbagai alatan digunakan termasuk kemayan, botol dan senjata lama namun aktiviti terbabit dapat dipatahkan penduduk walaupun ada antara mereka melakukan perbuatan berkenaan pada waktu malam.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini amalan berkenaan tidak lagi berlaku berikutan jawatankuasa penduduk serta ahli jawatankuasa masjid berjaya melakukan tindakan pencegahan dengan melarang mana-mana individu yang dilihat mencurigakan ketika memasuki kawasan perkuburan berkenaan.

“Makam terbabit amat dijaga rapi penduduk termasuk sering bergotong royong membersihkan persekitaran makam berkenaan. Seni bina makam terbabit dibuat oleh orang terdahulu dan generasi kini hanya  memulihara peninggalan itu sahaja.Sebagai anak kampung sememangnya kami amat berbangga dengan perjuangan Allahyarham Dato Dol Said.

“Malah kami juga mengalu- alukan sebarang kunjungan dan lawatan mana-mana pihak termasuk pelajar sekolah untuk membuat kajian berkaitan keperwiraannya,”katanya.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker