TUMPAT, 21 September, 2014 – Seramai 105 atau 96.3% anggota polis keluar mengundi awal untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, hari ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli berkata, ini bermakna hanya empat anggota polis tidak mengundi.
Menurutnya, proses pengundian yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, berjalan dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang gangguan.
“Proses pengundian bermula jam lapan pagi dan ditutup pada jam tiga petang. Dari segi peratusan, ia melibatkan 96.3 peratus pengundi,” katanya pada pemberita.
Menurut Mohd Sobri, kesemua peti undi akan dibawa ke Balai Polis Chabang Empat.
Ditanya tentang ketidakhadiran empat anggota polis keluar mengundi, Mohd Sobri berkata, dia difahamkan dua daripada mereka sedang bertugas di luar kawasan iaitu di Bukit Aman dan Miri.
Beliau bagaimanapun tidak mengetahui punca dua anggota lagi yang tidak hadir membuang undi.