Kategori Politik

PRK Pengkalan Kubor N01 pada 25 September

PUTRAJAYA, 1 September, 2014 – Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor akan diadakan pada 25 September sementara tarikh penamaan calon pada 13 September.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika mengumumkan demikian pada sidang media baru-baru ini, berkata, mengikut Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama Tahun 2014 yang telah dikemaskini sehingga 20 Ogos 2014, terdapat 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi luar negara.

Abdul Aziz berkata, SPR telah menetapkan pengundian awal khusus untuk anggota polis, tentera yang golongan yang bertugas serta berada di luar negara pada 21 September. Katanya tarikh tutup permohonan undi pos bagi pengundi dalam negara ialah 15 September sementara bagi pengundi luar negara pada 13 September.

20140829_112011Menurut Abdul Aziz, SPR akan menggunakan Bilik Gerakan pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, Kelantan, sebagai Pusat Penamaan Calon. Bagi Pusat Penjumlahan Undi pula SPR akan menggunakan Dewan Sekolah Menengah kebangsaan Dato Biji Wangsa.

Katanya lagi, Pusat Pengundian Awal pula akan diadakan di Dewan Delima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat. Sebanyak 11 buah sekolah akan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi 46 saluran. Seramai 422 petugas pilihanraya dilantik untuk pengendalian proses PRK Pengkalan Kubor yang dianggarkan menelan belanja RM696,750.

Abdul Aziz mengingatkan majikan supaya memberi tempoh munasabah kepada pengundi-pengundi yang bekerja pada Hari Mengundi. Katanya, menurut Subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, majikan yang melarang pekerja keluar mengundi boleh dikenakan denda RM5ribu atau setahun penjara.

Abdul Aziz berkata, pengundi yang mahu mendapatkan maklumat lanjut untuk melayari laman web SPR di www,spr,gov.my atau melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR  SEMAK nombor Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888 mulai 8 September 2014. Mereka juga boleh menelefon ibupejabat SPR di Putrajaya 03-8885 6565 atau Pejabat Pilihanraya Negeri Kelantan di 09-7482510.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker