Kategori Destinasi

Felda Residence Tanjung Leman Resort menjanjikan kedamaian jiwa

Anda mencari  tempat terpencil untuk bersendirian, tenang dan tanpa gangguan? Atau anda dambakan tempat yang boleh mengundang  ilham dan mendamaikan jiwa yang telah lama meronta mahu lari jauh dari hiruk-pikuk kebisingan kota? Jangan fikir panjang lagi! Silalah ke Felda Residence Tanjung Leman Resort.

poolBagi syarikat korporat pula, Felda Residence Tanjung Leman Resort paling sesuai untuk diadakan kem bina semangat, seminar atau hari keluarga.

Felda Residence Tanjung Leman terletak di dalam daerah Mersing dan dari Johor Bahru, pemanduan kereta hanya mengambil masa sejam setengah. Dari Kuala Lumpur pula, pemanduan mengambil masa dalam masa lima setengah jam.

Kedudukan resort ini  tidak jauh dari bandar Mersing di mana pemanduan mengambil masa tidak sampai setengah jam,  dan lokasinya cuma lima minit dari jeti Tanjung Leman yang menyediakan perkhidmatan bot ke gugusan Pulau Sibu dan Pulau Tinggi.

kaunterJika anda datang dari Kuala Lumpur, ada dua pilihan untuk sampai ke Tanjung Leman, sama ada melalui Lebuhraya Utara Selatan masuk ke simpang Kluang ke arah timur menghala ke Mersing  ataupun masuk ke simpang Kulai menghala ke Kota Tinggi.

Bezanya jalan melalui Kluang agak berbahaya kerana ia  berbengkang-bengkuk ibarat ular kena palu berbanding laluan menerusi Kota Tinggi yang lurus. Walau laluan mana yang dipilih, ia akan membawa anda melalui ladang-ladang kelapa sawit Gugusan Felda Tenggaroh.

bilik 2Berbanding dengan chalet atau resort di sekitarnya, Felda Residence Tanjung Leman serba lengkap dan selesa. Kolam renangnya pula mempunyai rekabentuk yang unik, cantik dan sesuai untuk keluarga mandi-manda.

Resort ini membelakangkan lautan. Biliknya berhawa dingin, besar dan selesa serta dilengkapi dengan kemudahan peti sejuk mini dan televisyen LED. Bilik airnya juga dilengkapi dengan kemudahan air panas. Apa yang menarik, setiap bilik mempunyai balkoninya sendiri. Terdapat lebih kurang 100 buah bilik di hotel ini.

pintu depanFelda Residence Tanjung Leman juga menyediakan pakej snorkeling (tiga jam) ke Pulau Sibu Kukus yang merangkumi sewa bot pergi balik dan peralatan snorkeling . Bagaimanapun ia terhad kepada minima empat orang. Sekiranya mahukan lebih kepuasan, adalah disyorkan anda menginap di chalet-chalet di sepanjang Pulau Sibu. Dari jeti Tanjung Leman ke Pulau Sibu cuma mengambil masa 15 minit.

Atas permintaan, hotel ini juga menyediakan pakej memancing di Pulau Tinggi yang cuma mengambil masa 20 minit menaiki bot dari jeti.

Hotel ini dilengkapi restoran dan kedai serbaneka. Bagaimanapun restoran itu tutup pada jam 10 malam. Makanannya boleh tahan sedap dan harganya berpatutan, tetapi malangnya tidak banyak pilihan.

toiletJika anda jenis yang tidak tahan lapar, adalah dinasihatkan supaya anda membawa bekalan makanan ringan yang banyak sebelum mendaftar masuk ke hotel ini. Ataupun anda boleh juga ke restoran KFC yang terletak di jeti berdekatan. Medan selera di jeti juga tidak banyak pilihan dan tutup pada waktu malam.

Bagaimanapun pengunjung akan memafkan kekurangan hotel ini apabila dilayan dengan baik oleh kakitangan hotel yang ramah dan berbudi bahasa.







UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker