Kategori Politik

MAHKAMAH TINGGI BEBASKAN ANWAR DARI TUDUHAN LIWAT

MkhmahDuta

KRONOLOGI PERISTIWA:

4.00 pagi: Polis sudah mula berkumpul di sekitar kawasan letak kereta Mahkamah Jalan Duta.Turut kelihatan beberapa orang wartawan dan jurugambar berlegar-legar di simpang masuk jalan menghala ke mahkamah (Jalan Khidmat Usaha).

4.15 pagi: Hujan renyai. Kelihatan 12 trak polis rusuhan dan sebuah trak meriam air tiba di kawasan mahkamah.

4.30 pagi: Beberapa orang wartawan lagi tiba dan mencari tempat berteduh kerana hujan mulai lebat.

4.45 pagi: Hujan bertambah lebat. Ramai orang berteduh di pusat penjaja yang terletak di simpang Jalan Khidmat Usaha.

5.00 pagi: Beberapa buah bas dan trak membawa polis tiba di perkarangan mahkamah.

5.15 pagi: Berlaku kekecohan sedikit apabila polis melarang wartawan masuk ke kompleks mahkamah kerana unit pengesan bom sedang membuat pemeriksaan.

5.30 pagi: Beberapa lagi bas dan van membawa lebih ramai polis tiba di mahkamah. Berlaku kekecuhan sekali lagi apabila pintu pagar Martrade ditutup menyebabkan wartawan tidak dapat meletak kereta di situ.

5.45 pagi: Disebabkan pintu pagar Martrade masih ditutup dan jalan masuk ke mahkamah juga telah dihadang, orangramai yang baru tiba terus letak kereta di sepanjang jalan di persimpangan Jalan Khidmat Usaha walaupun dilarang polis. Wartawan dan penyokong juga idak dibenarkan masuk ke kawasan letak kereta yang disediakan untuk perhimpunan aman.

6.00 pagi: Polis melarang kira-kira 50 wartawan yang cuba masuk ke kawasan kompleks mahkamah.

6.15 pagi: Kelihatan beberapa orang mengedarkan topeng wajah Anwar di pusat penjaja di selekoh persimpangan Jalan Khidmat usaha. Sebaik memakai topeng, mereka mula berarak dan melaungkan “Reformasi”.

6.30 pagi: Wartawan cuba masuk ke kawasan kompleks mahkamah sekali lagi. Tetapi polis masih tidak membenarkan, sebaliknya mengatakan mereka hanya boleh berbuat demikian pada jam 7 pagi. Pada masa sama, jumlah orang bertambah dan kelihatan satu kumpulan memakai kemeja-t hitam tertulis “901”.

6.45 pagi: Wartawan naik angin apabila polis melarang mereka membawa masuk payung ke kawasan kompleks mahkamah walaupun hari sedang hujan.

7.00 pagi: Kelihatan lebih ramai orang datang dari arah Masjid Wilayah untuk menyertai kumpulan yang sudah berkumpul dalam kawasan letak kereta mahkamah. Mereka membawa sepanduk “Bebas Anwar”

7.15 pagi: Jumlah peserta perhimpunan bertambah kepada hampir 2,000. Mereka melaung-laungkan “Reformasi” dan “Allahuakbar”. Hujan perlahan-lahan berhenti. Tidak lama kemudian kelihatan sekumpulan pemuda yang membawa kain rentang panjang yang dipenuhi dengan tandatangan sokongan kepada Anwar Ibrahim.

7.30 pagi: Jumlah kenderaan yang lalu lalang di Jalan Khidmat Usaha semakin bertambah. Disebabkan jalan masuk utama ke mahkamah sudah dihadang, ramai yang terpaksa membuat pusingan U untuk mencari kawasan letak kereta di sepanjang jalan bangunan kerajaan dan masjid.

7.45 pagi: Keadaan trafik mula perlahan apabila semakin banyak kenderaan tiba. Jumlah peserta perhimpunan meningkat kepada 2,000. Semakin ramai yang membawa sepanduk masuk ke kawasan perhimpunan. Kelihatan Timbalan Presiden PKR Tian Chua menggunakan hailer untuk membuat pengumuman bahawa Anwar Ibrahim akan sampai pada 8.30 pagi.

8.00 pagi: Jumlah yang berhimpun meningkat kepada 4,000 orang dan turut kelihatan ialah mantan Sasterawan negara, Datuk A Samad Said yang datang bersama penganjur Bersih, Datuk Ambiga.

Beberapa pemimpin pembangkang silih berganti berucap pada perhimpunan aman itu menggunakan hailer, anaranya Fauziah Salleh dan Nizar Jamaluddin. Polis memberi amaran kepada peserta perhimpunan yang berdiri di tengah-tengah jalan supaya masuk ke tempat letak kereta. Adam Adli, pelajar yang telah digantung pengajian dari UPSI selama tiga semester kerana menurunkan gambar Perdana Menteri di PWTC turut tumpang semangkuk mengajak peserta perhimpunan memusnahkan UMNO.

Pada masa yang sama, di dalam kompleks mahkamah, wartawan sudah dibenarkan beratur untuk mendaftar dan mengambil pas masuk. Setiap media hanya dibenarkan satu pas sahaja.

8.15 pagi: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sampai di kompleks mahkamah bersama peguam Anwar, Karpal Singh.. Kelihatan bersama mereka ialah beberapa perwakilan dari kedutaan asing serta pemerhati dari luar negara.

8.30 pagi: Keadaan kecoh apabila Anwar dan keluarganya tiba. Akibat berebut mahu bersalam dengannya, beberapa penyokong terjatuh kerana tertolak. Polis terpaka menutup pintu mahkamah apabila penyokong-penyokongnya cuba bertindak liar sambil melaungkan “Reformasi” . Anwar terpaksa masuk menggunakan pintu kecil di sebelah tepi bangunan mahkamah.

8.45 pagi: Keadaan dalam mahkamah penuh sesak sehingga tiada ruang untuk bergerak. Kira-kira 150 orang di dalam mahkamah, dan daripada jumlah itu, 50 adalah dari media.

9.00 pagi: Antara pemimpin pembangkang yang kelihatan dalam mahkamah ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, timbalan presidennya, Datuk Mahfudz Omar, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, ayahnya, Lim Kit Siang, setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution, Mat Sabu dan ramai lagi.

9:19 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata “Selepas meneliti segala bukti, mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti bahawa integriti sampel DNA tidak terusik dan lantas tak selamat untuk bergantung kepada bukti DNA.

“Mahkamah hanya bergantung kepada keterangan pengadu dan saksi utama, iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Memandangkan ini adalah jenayah seksual, mahkamah tidak dapat mensabitkan kesalahan berdasarkan kepada keterangan Saiful yang tidak jelas. Maka tertuduh dibebaskan dari tuduhan,” katanya.

9.24 pagi: Anwar kelihatan terkejut. Wan Azizah dan anak-anaknya menangis kegembiraan dan saling berpelukan. Peguam dan penyokong Anwar bertepuk tangan. Wartawan kelam kabut menghantar keputusan menerusi SMS. Selepas itu mereka meluru mendapatkan komen Anwar dan peguam-peguamnya.

10.00 pagi: Anwar turun ke perkarangan mahkamah disambut dengan sorakan penyokong-penyokongnya. Berlaku kekecohan sedikit apabila wartawan yang cuba mendapatkan komen Anwar, ditolak oleh penyokong-penyokongnya yang juga sibuk mahu mendengar dan mengambil gambar. Pada sidang media itu Anwar berkata masih terlalu awal untuk dia meraikan kemenangan kerana pendakwa masih mempunyai ruang untuk merayu membantah keputusan itu.

10.15 pagi: Selesai sidang media, Anwar meninggalkan perkarangan mahkamah menuju ke tempat perhimpunan dan bersalaman dengan penyokong dan meminta mereka bersurai secara aman.

10.30 pagi: Ramai wartawan menerima tweeter Saiful seperti berikut: “Tidak di dunia, namun di Mahsyar pasti. Redha dengan ketentuanNya. Akan terus tenang, doa, istiqamah dan sabar.

10.35 pagi: Satu dentuman kedengaran di jalan menghala ke Martrade.

10.45 pagi: Satu lagi dentuman kedengaran kali ini di tempat letak kereta berhampiran pusat penjaja.

11.00 pagi: Letupan ketiga kedengaran di bahagian atas bukit berhampiran kompleks kerajaan. Polis menggunakan hailer meminta peserta perhimpunan bersurai demi keselamatan sebelum mengepung kawasan mengunakan pita kuning. Anjing pengesan bom digunakan untuk memeriksa kawasan sekitar.
Sebuah kereta pacuan 4 roda, sebuah kancil dan sebuah motorsikal rosak akibat terkena letupan itu. Dua orang cedera terkena serpihan. Seorang dikejarkan ke hospital dan seorang lagi diberikan rawatan di tempat kejadian.

11.15 pagi: Masih terdapat kira-kria 100 peserta perhimpunan yang masih berdegil tidak mahu meninggalkan kawasan berhadapan pusat penjaja ketika unit pengesan bom sedang bertugas. Bagaimanapun setelah melihat lapan trak FRU masuk ke kawasan mahkamah, mereka perlahan-lahan bersurai.

 
 






UTAMA PENAFIAN PENGIKLANAN WEBMAIL

HAK CIPTA TERPELIHARA © 2012-2016 JURNAL MALAYSIA

[ Log in ]



PageRank Checker